.:: BLOG
Author: Homes Kitchen // Category:
TIPS UNTUK MEMILIH KEK PILIHAN ANDA
Langkah 1: Tetapkan tema bagi hari istimewa anda itu.
Langkah 1: Tetapkan tema bagi hari istimewa anda itu.
Dengan menetapkan sedari awal lagi tema bagi jamuan anda semasa hari istimewa tersebut, ia boleh memudahkan pihak pereka kek untuk menyediakan kek mengikut tema yang telah anda pilih. Bukan itu juga, dengan menetapkan tema sesuatu majlis, ia juga sebenarnya akan memudahkan anda sendiri untuk mengelolakan jamuan anda tersebut.
Langkah 2: Tentukan warna bagi rekabentuk kek yang diingini.
Untuk memastikan bahawa kek anda kelihatan menarik dan menjadi seakan suatu ’center piece’ bagi jamuan anda, pilih SATU warna yang sesuai dan BERTEPATAN dengan tema yang telah dipilih sebelum ini. Bagi pereka kek, dengan memilih satu warna sebagai warna asas, pereka tersebut akan menyesuaikan dengan sekurang-kurangnya dua warna sampingan yang lain dengan mudahnya supaya kek yang terhasil akan kelihatan lebih berseri dan mengagumkan tetamu yang hadir. Anda juga tentu tidak mahu kek yang terhasil ‘lari’ dari tema yang telah anda pilih sekiranya anda sendiri yang tidak menetapkan warna asas kek anda itu.
Langkah 3: Anggarkan jumlah tetamu yang bakal hadir untuk tentukan anggaran saiz sesebuah kek.
Sekiranya anda tidak bercadang untuk menjamu tetamu anda kek yang telah ditempah, contohnya bagi majlis perkahwinan yang besar-besaran, maka anda boleh tempah kek yang ‘nampak sahaja besar tetapi isinya belum tentu boleh dimakan’. Namun bagi majlis kecil-kecilan seperti majlis sambutan Hari Jadi atau Majlis Perpisahan, adalah perlu untuk anda memberitahu pereka kek yang telah dilantik jumlah tetamu yang bakal hadir. Kata orang tua-tua “Biarlah lebih, jangan kurang pula hidangan yang ingin dijamu. Tidak sopan namanya”. Dengan mengenalpasti jumlah tetamu yang bakal hadir, saiz kek yang ingin ditempah boleh ditentukan dengan kadar segera.
Ingin saya nyatakan di sini juga, bagi pihak Cake Crafts (by zaL’za), kami tidak menyediakan kek berdasarkan <span>jumlah berat kek</span> tersebut. Untuk pengetahuan, lain-lain jenis kek mempunyai lain-lain berat jisimnya. Contohnya kek lembap (Moist) akan memberikan sukatan yang lebih berbanding kek Chiffon atau Sponge. Kami biasanya akan memberikan harga berdasarkan adunan atau saiz kek yang bersesuaian dengan <span>keperluan</span> pelanggan, bukan dengan kemahuan pelanggan.
Langkah 4: Kenalpasti bajet harga yang boleh dibelanjakan bagi juadah kek untuk hari istimewa tersebut.
Seperti mana yang ada disebut sebentar tadi, sekiranya anda tidak bercadang untuk menjamu ‘kesemua’ tetamu yang hadir kek yang telah disediakan anda boleh memilih untuk menempah kek yang terdiri daripada ‘kek sebenar’ bercampur dengan ‘kek dummy’. Terdapat dua kegunaan bagi kek dummy’ ini. Pertama, dengan menambah ‘kek dummy’ ke dalam sesuatu rekabentuk kek anda, anda boleh membuat kek tempahan anda tampak kelihatan lebih tinggi atau lebih ‘gah’ serta meriah. Kek yang kelihatan ‘gah’ ini selalunya sesuai untuk majlis-majlis yang ‘gah’ atau meriah juga, misalnya majlis perkahwinan yang dibuat di dalam dewan, majlis pelancaran korporat atau sebagainya.
Selain itu, ‘kek dummy’ ini boleh menyusutkan jumlah RM anda secara langsung tetapi dalam masa yang sama boleh membuat kek anda kelihatan lebih menarik dengan pertambahan jumlah ‘tier’ atau jumlah tingkat kek. Kek dummy ini sebenarnya merupakan kek hiasan yang tidak diperbuat daripada kek sebenar, sebaliknya ia diperbuat daripada ‘polystyrene’. ‘Polystyrene’ ini disalut sama ada dengan fondan atau buttercream yang bertindak sebagai agen penghias kepada kek itu.
Dengan mengenalpasti bajet yang boleh disediakan untuk kek yang ingin ditempah, anda dapat memudahkan pereka kek anda sama ada perlu memakai kek sebenar sahaja atau yang bercampur dengan ‘kek dummy’.
Langkah 5: Tentukan pula perisa dan perasa kek (cake flavour and cake fillings).
Peraturan F&F ini tidak boleh dipandang enteng sekiranya anda ingin memastikan bahawa kek yang ditempah itu bukan sahaja cantik dipandang tetapi ia juga mestilah berasa enak supaya tetamu anda yang hadir pulang dengan ingatan bahawa anda merupakan tuan rumah yang hebat. Tanya dahulu pereka kek anda sama ada beliau boleh menyediakan pelbagai jenis perisa kek dan adakah kek-kek tersebut boleh mempunyai pelbagai penambah perasa (fillings) yang biasanya disapu di bahagian tengah kek. Untuk pengetahuan, apabila bercakap mengenai penambah perasa dalam pembuatan kek ini, ia bukannya merujuk kepada bahan mentah penambah perasa seperti ‘vanilla essence’ atau perasa Ajinomoto dalam masakan dapur.
Tentukan dengan jelas perkara ini sebelum membuat sebarang pembayaran. Sekiranya anda sebagai pelanggan yang tidak memberikan kata putus kepada pereka kek anda, jangan salahkan beliau sekiranya anda ada mendengar tetamu anda merungut tentang majlis kelolaan anda itu.
Langkah 6: Pembayaran pendahuluan kepada pereka kek.
Apabila tiba bab sebegini, adakalanya pelanggan berasa seolah berada dalam keadaan ‘berat sebelah’. Kepada yang tidak biasa dengan seseorang pereka kek itu, membuat sebarang pembayaran adalah umpama mengundang risiko kepada dirinya andai sekiranya tiba hari yang telah dijanjikan kek pula tidak tiba seperti yang sepatutnya. Namun dari perspektif si pereka kek itu tadi, andaikan tanpa pendahuluan modal terpaksa dikeluarkan terlebih dahulu untuk menghasilkan kek yang diingini pelanggan. Tetapi pelanggan tiba-tiba membatalkan tempahan itu tadi, ia sekali gus merupakan suatu kerugian yang agak besar kepada si pereka kek pula. Dikatakan sebagai suatu ‘kerugian besar’ adalah kerana modal yang terlibat dalam pembuatan kek ini bukan sahaja melibatkan bahan-bahan mentah, sebaliknya modal masa, modal keringat serta modal elektrik yang selalunya dipandang sepi oleh segelintir pelanggan yang tidak memahami.
Maka, untuk memberi sedikit keadilan kepada kedua-dua pihak, adalah perlu untuk si pelanggan membuat sedikit pembayaran sebagai pendahuluan kepada si pereka kek yang telah dilantik. Pembayaran pendahuluan biasanya adalah dalam lingkungan 30% hingga 50% bergantung kepada sama ada rekabentuk kek yang ditempah adalah kompleks atau tidak. Bakinya pula perlu dijelaskan semasa penghantaran telah berlaku. Bagi sesetengah majlis yang terpaksa ditunda atau dibatalkan pada saat-saat akhir, pembatalan yang diberitahu kepada pereka kek itu perlulah 7 (tujuh) hari sebelum majlis dicadangkan berlangsung. Sekiranya dalam dua atau tiga hari pembatalan baru hendak dibuat, maka pembatalan ini adalah tidak sah. Pelanggan masih perlu selesaikan baki pembayaran dan kek yang ditempah masih perlu dihantar seperti biasa.
Tetapi bagaimana pula sekiranya terdapat keadaan di mana pereka kek itu pula yang membuat hal? Maka apabila tiba dalam soal sebegini, seseorang pelanggan itu mempunyai hak sepenuhnya untuk melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai pereka kek yang dianggap sudah menipu pelanggan. Bagaimana untuk memastikan bahawa anda berada di pihak yang benar? Semasa membuat pembayaran kepada si pereka kek itu tadi, mintalah untuk diberikan resit pembayaran. Sekiranya pereka kek itu hanya sekadar menyediakan resit yang diragui kesahihannya, jadi mintalah sekali nombor kad pengenalannya, nombor telefon talian tetap serta alamat rumah. Namun, keadaan ini hanya perlu jika anda tidak mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap pereka kek yang anda ingin lantik itu. Sekiranya pereka kek itu terdiri daripada kalangan ahli keluarga atau seseorang yang anda sudah lama kenal, maka terpulang kepada anda untuk menentukannya.
Langkah 7: Butir-butir tarikh, waktu dan alamat penghantaran perlu jelas!
Bagi memudahkan semua pihak yang terlibat, semasa anda menerima resit pembayaran pastikan bahawa butir-butir yang berkaitan perlu jelas dan ditulis di dalam resit tersebut. Butir-butir yang perlu dijelaskan ialah:
- Tarikh penghantaran yang perlu dilakukan
- Waktu majlis bermula (maka kek perlu tiba 2-3 jam sebelum majlis bermula)
- Alamat tempat majlis yang akan berlangsung.
Selain itu, untuk memastikan bahawa hasil kek yang diterima tidak tersasar daripada apa yang telah dipersetujui, letakkan sekali butir-butir kek di dalam resit tersebut sebagai tanda perjanjian.
Diharapkan dengan nota ini anda akan berasa lebih jelas dalam menghadapi soal menempah kek daripada pereka-pereka kek yang ada di luar sana. Ingin juga ditambah, semasa membuat urusniaga perjanjian dengan pereka kek, pastikan bahawa semuanya berjalan lancar dan jelas agar anda boleh mengelakkan atau mengurangkan risiko sebarang kejadian yang tidak diingini dalam merealisasikan impian anda untuk mengelolakan hari istimewa anda itu.
Total Pageviews